Konflik Asia Barat: Jemaah umrah Malaysia harap dapat pulang ikut jadual selepas Aidilfitri - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Jemaah umrah Malaysia harap dapat pulang ikut jadual selepas Aidilfitri

RAZAK Daud yang kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah berharap konflik Asia Barat tidak menjejaskan perjalanan pulang ke Malaysia yang dijadualkan pada 23 Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Jemaah umrah dari Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan laluan penerbangan susulan konflik ketenteraan melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel yang berpotensi menjejaskan jadual kepulangan mereka ke tanah air.

Seorang peneroka Felda, Razak Daud bersama rakannya, Datuk Khaidir Abd. Ghaffar berharap dapat pulang ke Malaysia pada 23 Mac ini, sekali gus berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari keempat bersama keluarga.

Razak yang berasal dari Felda Jengka 24, Jerantut berkata, dia berada di Tanah Suci Mekah sejak 20 Disember 2025 bagi menunaikan umrah dan dijadualkan pulang ke tanah air, 23 Mac ini.

Menurutnya, kebimbangan timbul apabila beberapa laluan penerbangan di rantau Asia Barat dilaporkan dibatalkan susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini.

“Keadaan itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan jemaah umrah kerana sebarang perubahan jadual penerbangan boleh menjejaskan perancangan kami untuk pulang ke tanah air menjelang Aidilfitri.

“Namun kami tetap berharap keadaan kembali reda dan semua urusan penerbangan berjalan lancar supaya kami dapat pulang seperti dijadualkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Razak turut berharap konflik tersebut dapat dihentikan segera bagi mengelakkan kesan lebih besar terhadap ekonomi dunia serta krisis kemanusiaan yang boleh memberi penderitaan kepada masyarakat awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN