KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan semua premis kompleks membeli-belah dan pasar raya di bandar ini diwajibkan menutup operasi sehingga pukul 1 tengah hari pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, maklumat yang tersebar itu tidak tepat kerana sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, perkara itu hanya akan diputuskan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
“Maklumat yang tular itu tidak betul, tambahan pula tarikh dan tahun tidak dinyatakan secara jelas dalam surat berkenaan.
“Insya-Allah selepas Mesyuarat Exco nanti kita akan buat pengumuman rasmi. Setakat ini cadangan dasarnya ialah menutup operasi pada hari pertama perayaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, satu notis yang didakwa berkaitan arahan penutupan premis kompleks membeli-belah dan pasar raya sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha tular di media sosial sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet.
Notis berkenaan memaklumkan bahawa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan semua pengusaha premis kompleks membeli-belah dan pasar raya menutup operasi sehingga pukul 1 tengah hari pada hari pertama kedua-dua perayaan tersebut.
Menurut notis itu, aktiviti perniagaan hanya dibenarkan beroperasi semula selepas pukul 1 tengah hari bagi memberi peluang kepada pekerja menunaikan solat sunat hari raya.-UTUSAN










