Kelantan cadang tubuh jawatankuasa nilai semula latihan doktor pelatih

Kelantan cadang tubuh jawatankuasa nilai semula latihan doktor pelatih

Hilmi Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menilai semula sistem latihan doktor pelatih supaya lebih relevan dengan perkembangan semasa dan sesuai dengan keperluan generasi sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kaedah latihan sedia ada sebahagian besarnya adalah amalan lama dan wajar diperbaharui bagi mengurangkan tekanan dan bebanan terhadap pelatih.

“Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada kaedah lama sedangkan dunia sekarang sudah berubah dengan pendekatan lebih moden.

“Penubuhan jawatankuasa ini penting bagi menambah baik kaedah latihan serta menjaga kesihatan mental pelatih,” katanya selepas ketika mengulas kes kematian seorang doktor pelatih wanita di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada Khamis lalu.

Hilmi memberitahu, tekanan merupakan sebahagian daripada proses latihan dalam mana-mana profesion, termasuk perubatan dan undang-undang.

Katanya, bagaimanapun perkara tersebut perlu ada had supaya tidak menjejaskan kesihatan mental pelatih.

“Jadi saya harap, penilaian semula terhadap sistem latihan tersebut dapat membantu menambah baik kaedah latihan profesional khususnya dalam bidang kritikal seperti perubatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hilmi berkata, kerajaan negeri berdukacita dengan kejadian yang menimpa seorang doktor pelatih wanita di HSIP, Kuala Krai pada khamis lalu.

“Kita masih menunggu laporan penuh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta hasil siasatan Polis Diraja Malaysia berhubung kes berkenaan.

“Saya jangka laporan tersebut akan diperoleh dalam minggu ini,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan sudah merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes seorang doktor pelatih wanita yang ditemukan mati di bilik asramanya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada Khamis.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, individu itu terdiri daripada ahli keluarga mangsa, rakan sekerja serta pensyarah.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN