Kekal had 800 liter bukti kerajaan prihatin keperluan penggiat gig - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Kekal had 800 liter bukti kerajaan prihatin keperluan penggiat gig – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengekalkan had kelayakan siling subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 sehingga 800 liter bagi sektor e-hailing dan pekerja gig.

Presiden MyGiG, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin, langkah itu jelas memperlihatkan kerajaan dan Perdana Menteri sedar akan keperluan penggiat ekonomi gig yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki.

“Keputusan ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap cabaran dihadapi pekerja gig. Had 800 liter yang dikekalkan begitu membantu mereka menguruskan tanggungjawab pekerjaan dan urusan harian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Sharkar menegaskan, penggiat gig merupakan sebahagian daripada ekosistem ekonomi negara yang semakin berkembang, justeru sokongan kerajaan. penting bagi memastikan kelangsungan mereka.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar bersabar menghadapi situasi kenaikan harga minyak ketika ini kerana ia merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan.

“Apa yang berlaku adalah kesan daripada konflik Asia-Barat melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Justeru, kita perlu memahami konteks global ini dan tidak hanya melihat daripada sudut domestik,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa MyGiG akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan suara penggiat gig didengar, selain mencari jalan terbaik untuk meringankan beban mereka dalam keadaan ekonomi mencabar.

Katanya lagi, sokongan berterusan daripada kerajaan bukan sahaja memberi kelegaan kepada pekerja gig, malah memperkukuh peranan mereka sebagai penyumbang penting dalam ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN