Kedai bunga api terbakar, peniaga direman tiga hari

Kedai bunga api terbakar, peniaga direman tiga hari

ANGGOTA polis membawa seorang wanita ke Mahkmah Pasir Mas, Kelantan hari ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kebakaran kedai menjual bunga api semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang wanita direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran sebuah premis menjual bunga api dan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh dekat Kota Bharu semalam.

Perintah reman ke atas peniaga berusia 44 tahun itu yang bermula hari ini hingga Jumaat dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai membabitkan api atau bahan mudah terbakar yang boleh membahayakan nyawa atau harta benda.

Difahamkan, seorang lelaki berusia 38 tahun yang merupakan pekerja kepada wanita tersebut dibebaskan dengan jaminan polis.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, polis menahan dua individu, masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki, bagi membantu siasatan kebakaran melibatkan gerai menjual bunga api dan mercun di hadapan sebuah kedai makan di Batu 3, Wakaf Che Yeh, dekat sini semalam.

Kedua-dua individu yang merupakan pemilik dan penjaga premis itu ditahan pada pukul 8.30 malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian berhubung bahan api atau bahan letupan yang boleh menyebabkan kebakaran, kecederaan atau kerosakan harta benda.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di hadapan sebuah premis kedai makan yang dimiliki oleh seorang wanita berusia 44 tahun.

Katanya, siasatan yang dijalankan oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendapati kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN