Hilang pendapatan untuk sara anak selepas kemalangan

Hilang pendapatan untuk sara anak selepas kemalangan

ZULKFLI Iham Abdul Majid yang patah tangan dijaga dua anaknya di Kampung Tersusun Padang Tembak di Teluk Intan, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki hilang sumber pendapatan untuk menyara tiga anaknya selepas patah tangan akibat terlibat kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Zulkfli Iham Abdul Majid, 48, berkata, kejadian itu menyebabkan tangan kanannya patah sekali gus menghalangnya daripada bekerja seperti biasa.

Menurutnya, dia yang berpisah dengan isterinya sejak tiga tahun lalu sebelum ini bekerja mengambil upah mencuci lokang di sekitar bandar Teluk Intan bagi menyara keluarga.

Katanya, sejak kemalangan itu, dia tidak lagi mampu melakukan kerja berkenaan walaupun masih menerima permintaan daripada pihak tertentu untuk menjalankan kerja kontrak tersebut.

“Sebelum ini saya mencatu wang simpanan yang ada untuk perbelanjaan harian, tetapi selepas kira-kira sebulan termasuk sepanjang bulan puasa, wang tersebut sudah habis digunakan.

“Sekarang kami makan ala kadar sahaja, kadang-kadang hanya berlaukan ikan bilis dengan kicap atau mi segera. Sepanjang Ramadan ini kami juga berbuka puasa di masjid berhampiran bagi mengalas perut,” katanya ketika ditemui di Kampung Tersusun Padang Tembak di sini.

Menurutnya, dua anaknya yang masih bersekolah iaitu Nurul Husna Nasuha, 13, dan Nur Nadrah Naurah tinggal, 11, bersamanya, manakala seorang lagi dijaga oleh bekas isterinya.

Zulkfli berkata, mereka kini tinggal di rumah pusaka keluarga di kampung tersebut yang semakin usang dengan beberapa bahagian atap rosak dan bocor.

Katanya, keadaan lantai simen rumah itu juga pecah akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan tahun lalu.

“Untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri seperti biskut raya dan baju raya saya memang tidak mampu lagi beli sejak tidak boleh bekerja.

“Bagi saya, persiapan raya bukan keutamaan ketika ini kerana yang lebih penting adalah bagaimana untuk menampung keperluan harian terutama bagi anak-anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN