LIPIS: Projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Binjai di sini diharap dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia penting dalam meningkatkan kemudahan perhubungan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, projek yang menelan belanja kira-kira RM63 juta itu penting bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat selain meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan kampung berkenaan.
“Saya difahamkan ada sedikit kelewatan pada peringkat awal pembinaan. Saya harap pihak kontraktor dapat mengejar semula jadual pelaksanaan supaya projek ini dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.
“Saya sendiri berharap dapat melihat jambatan ini siap dalam tempoh yang dirancang iaitu sekitar Februari 2028,” titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Binjai di sini hari ini.
Pada majlis itu, Sultan Pahang berkenan mengurniakan rumah Ru’RASA kepada 22 penerima dari Lipis, Raub dan Bentong.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlaku banjir di Kampung Binjai memandangkan keadaan sungai yang berliku dan berpotensi menghalakan aliran air ke kawasan kampung.
Baginda menzahirkan cadangan agar agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kajian bagi menambah baik aliran sungai termasuk kemungkinan meluruskan alirannya atau menyediakan sistem perparitan tambahan bagi mengurangkan risiko banjir pada masa hadapan.
“Saya tidak boleh jamin bahawa pembinaan jambatan ini akan mengelakkan banjir sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan pergerakan penduduk ketika musim biasa.
“Namun jika kajian dapat dibuat untuk memperbaiki aliran sungai, mungkin ia dapat membantu meredakan kesan banjir pada masa akan datang,” titah baginda. – UTUSAN










