KOTA BHARU: FELCRA Berhad sedang meneliti beberapa langkah penjimatan sebagaimana yang dicadangkan kerajaan termasuk kemungkinan melaksanakan kerja dari rumah selain membatalkan majlis sambutan Aidilfitri.
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob berkata, agensi itu turut mempertimbangkan langkah menangguhkan penganjuran majlis rasmi melibatkan FELCRA dan berkongsi kenderaan bagi menghadiri program tertentu.
Katanya, ia merupakan sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan susulan krisis kewangan akibat keadaan ekonomi dunia.
“Kita (Felcra) mempunyai 16 anak syarikat yang aktif. Mungkin kita akan menyarankan supaya mesyuarat rutin yang tidak mustahak diadakan secara dalam talian.
“Langkah itu dilihat mampu mengurangkan kos operasi memandangkan setiap mesyuarat fizikal melibatkan perbelanjaan tertentu yang perlu ditanggung syarikat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Moreh Ramadan Bersama Pengamal Media Kelantan di sini, malam tadi.
Ahmad Jazlan memberitahu, perbincangan rasmi mengenai perkara itu dijangka diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun katanya, arahan awal sudah diberikan supaya semua pihak menangguhkan perkara yang tidak mendesak buat masa ini.
Utusan Malaysia, sebelum ini melaporkan, kerajaan mengambil langkah penjimatan termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat sebagai mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan secara lebih cermat dan sederhana ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan.-UTUSAN










