Cabaran bomba Perlis kawal kebakaran hutan

Cabaran bomba Perlis kawal kebakaran hutan

KETIKA umat Islam sedang meraikan lebaran, anggota bomba pula bertungkus lumus siang dan malam memadam kebakaran hutan serta belukar yang kerap berlaku ekoran cuaca panas melampau di Perlis kebelakangan ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketika umat Islam sedang meraikan lebaran, anggota bomba negeri pula bertungkus lumus siang dan malam memadam kebakaran hutan serta belukar yang kerap berlaku ekoran cuaca panas melampau kebelakangan ini.

Hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu dari Januari sehingga 23 Mac, sebanyak 610 kes direkodkan termasuk melibatkan kebakaran hutan dan belukar.

Jumlah kes yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2024 dan 2025 iaitu masing-masing sekitar 180 kes dan 176 kes.

Malah, dalam tempoh seminggu sebelum ini telah
berlaku kebakaran hutan di puncak Bukit Chabang yang mengakibatkan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan dan selang sehari kemudian di Bukit Penangi di Kampung Nesam selain kejadian sama di Bukit Besi Hangit.

Bagaimanapun, anggota turut berdepan pelbagai cabaran atau kekangan dalam usaha mengawal kebakaran hutan tersebut antaranya berhubung masalah akses ke lokasi kejadian yang sempit serta sumber air terhad di situ.

Pengarah Bomba negeri, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, kebanyakan lokasi kebakaran terletak di kawasan bukit tiada laluan masuk.

Katanya, antara cabaran lain, anggota juga perlu ke lokasi kejadian kebakaran belukar atau hutan di beberapa lokasi yang berlaku serentak.

Beliau berkata, justeru, pihaknya memerlukan koordinasi operasi yang teliti dalam aspek kerahan jentera dan pasukan untuk kes lokasi kejadian dan juga kes-kes lain berdasarkan keutamaan di Pusat Gerakan Operasi negeri.

“Kita juga terpaksa menghadkan cuti anggota seterusnya memberi penumpuan aspek penugasan kebombaan pemadaman kebakaran hutan atau belukar.

“Sebagai anggota bomba, keutamaan adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan memastikan ia tidak terjejas meskipun menuntut pengorbanan besar anggota khususnya pada musim perayaan ini.

“Kita juga terpaksa membuat kawalan limitasi terhadap cuti semua anggota terlibat semasa musim perayaan Aidilfitri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Perlis ketika ini berdepan cuaca panas melampau dengan suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius.

Wan Mohd Hamizi berkata, kesan cuaca panas ekstrem ketika ini menyebabkan tumbuhan atau pokok-pokok di kawasan hutan serta lokasi-lokasi pertanian menjadi kering dan mati, sekali gus mengundang risiko kebakaran.

“Kebakaran seterusnya mungkin tercetus sama ada melalui kegiatan manusia atau disebabkan oleh faktor- faktor lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN