KOTA BHARU: Ketika umat Islam lain sibuk membuat persiapan menyambut 1 Syawal, sekumpulan tukang emas dari Pertukangan Mz Gold Sdn. Bhd di sini, bersengkang mata demi menyiapkan tempahan barang kemas pelanggan mereka.
Ketua pertukangannya, Mohammad Afif Azman berkata, ketika ini pihaknya berada pada fasa akhir menyiapkan kira-kira 500 unit tempahan barang kemas yang diterima sejak sebulan sebelum Ramadan.
“Sebanyak 95 peratus tempahan tempatan telah siap dan kami hanya menunggu pelanggan datang mengambilnya bermula semalam.
“Musim perayaan tahun ini ditutup lebih awal iaitu seminggu sebelum Aidilfitri bagi memberi ruang kepada tukang menyiapkan semua pesanan,” katanya kepada kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, seramai 11 tukang emas yang terlibat bekerja siang dan malam bagi memastikan setiap tempahan dapat disiapkan.
Bagi rantai tangan katanya, seorang tukang mampu menyiapkan dua unit sehari sementara cincin antara empat hingga lima bentuk sehari bergantung kepada rekaannya.
“Tempahan yang diterima bukan sahaja dari sekitar Kelantan malah ada pelanggan dari Sabah dan Sarawak. Untuk luar negara, kami turut menerima tempahan dari Thailand dan Singapura.
“Di sini, kami caj upah serendah RM300 dan ke atas. Selain itu, kami memberi kebebasan kepada pelanggan untuk menghantar reka bentuk sendiri.
“Pelanggan boleh bawa atau hantar reka bentuk yang diingini dan kami hasilkan mengikut spesifikasi mereka,” katanya.-UTUSAN.










