BACHOK: Seorang daripada tiga anggota polis bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dipercayai membekalkan dadah kepada klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serdang, Kedah, sudah dipecat daripada perkhidmatan pada Oktober tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua lagi anggota tersebut akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib pada esok untuk tindakan selanjut.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati kakitangan yang sudah ditamatkan perkhidmatan itu bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien, malah turut didapati positif bahan terlarang.
“Kesnya telah melalui proses Lembaga Tatatertib dan individu tersebut telah dipecat pada Oktober tahun lalu. Saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas dua lagi yang terlibat mendapati mereka negatif dadah.
“Jika ikut ukuran kita, ia merupakan satu dosa besar kerana dalam konteks ini sama seperti harapkan pegar, pegar makan padi,” katanya kepada pemberita Majlis Bersahur Sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri Tahun 2026 di Puspen Bachok di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution memberitahu, tindakan terhadap ketiga-tiga kakitangan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebaliknya siasatan dalaman AADK telah dimulakan sejak November 2024.
Katanya, sebaik sahaja tiga kakitangan itu dikenal pasti terlibat AADK telah mengeluarkan mereka dari penempatan asal.
“Kesemua mereka telah ditempatkan pejabat AADK Negeri Kedah sementara siasatan dijalankan. Prosedur tatatertib penjawat awam perlu dipatuhi secara ketat bagi mengelakkan sebarang kecacatan proses yang boleh membuka ruang kepada cabaran undang-undang.
“Kita tidak boleh langgar prosedur. Jika proses diabaikan, mereka boleh mencabar keputusan di mahkamah. Sebab itu walaupun nampak mengambil masa, semua mesti dibuat mengikut saluran,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, AADK yang didakwa membawa masuk bahan terlarang ke dalam Puspen telah ditukar.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan tatatertib itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan dan Tatatertib) 1993.
Terdahulu, EAIC mendedahkan terdapat pelanggaran arahan berhubung larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang dilakukan oleh pegawai sewaktu bertugas.
Siasatan dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].-UTUSAN










