Bazar Ramadan Indera Mahkota 2 cipta kelainan dengan fenomena Tour Ustaz Ridzuan Noor - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan Indera Mahkota 2 cipta kelainan dengan fenomena Tour Ustaz Ridzuan Noor

LEBIH 10,000 orang mengunjungi Bazar Ramadan Indera Mahkota 2 di Kuantan, Pahang sejak dibuka sekali gus menjadikan ia lokasi tumpuan masyarakat setempat bagi membeli juadah berbuka puasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bazar Ramadan Komuniti Indera Mahkota 2 di sini yang dianjurkan Teja Market mencipta sejarah sebagai bazar pertama di Kuantan yang tampil dengan kelainan, apabila mengadakan fenomena tour bersama Ustaz Ridzuan Noor, anak jati Pahang dari Bentong yang tular dengan kek tapak kuda ustaz.

Berbeza dengan bazar Ramadan di tempat lain yang lazimnya hanya menumpukan kepada jualan makanan tanpa program tambahan, Teja Market membawa pendekatan baharu dengan mengadakan program siri jelajah yang menjadi daya tarikan utama pengunjung.

Sejak ia dibuka, bazar komuniti ini mencatatkan sambutan luar biasa dengan lebih 10,000 pengunjung membanjiri lokasi untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, sekali gus menjadikan ia tumpuan utama masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.

Pengurusan Teja Market berkata, kehadiran ramai membuktikan bazar itu menjadi pilihan utama warga Kuantan yang mahukan pengalaman membeli-belah lebih santai dan berbeza.

“Dengan 28 vendor dalam kumpulan kecil tetapi padat dengan menu menarik, suasana bazar menjadi meriah apabila pengunjung dapat menikmati juadah tradisional seperti nasi kerabu, murtabak dan kuih-muih Melayu, selain menu moden yang sedang popular.

“Kami melaksanakan konsep menu pilihan bagi memastikan setiap vendor menawarkan hidangan berbeza tanpa pertindihan. Untuk kuih tradisional dan pencuci mulut sahaja terdapat lebih 200 jenis pilihan, belum termasuk lauk pauk, makanan viral, hidangan Korea, Jepun, pencuci mulut Filipina, serta produk segar King Farm dari tanah tinggi Cameron Highlands,” kata pengurusan Teja Market di sini semalam.

BAZAR Ramadan Komuniti Indera Mahkota 2 di Kuantan, Pahang tampil dengan kelainan, apabila mengadakan fenomena tour bersama Ustaz Ridzuan Noor, anak jati Pahang dari Bentong yang tular dengan kek tapak kuda ustaz.

Menurut pengurusan Teja Market, matlamat utama bazar adalah mengumpulkan vendor yang menawarkan kelainan serta memberikan peluang kepada peniaga tempatan untuk menonjolkan identiti masing-masing.

“Kami mahu setiap gerai mempunyai keunikan tersendiri, supaya pengunjung bukan sahaja membeli makanan tetapi juga merasai pengalaman bazar yang berbeza,” katanya.

Selain itu, katanya, bazar itu turut menjadi platform memperkenalkan produk baharu daripada usahawan muda yang kreatif, sekali gus menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, pengunjung yang hadir turut memuji suasana kondusif dan kemudahan yang disediakan, termasuk ruang parkir yang teratur dan laluan pejalan kaki yang luas, menjadikan pengalaman membeli lebih selesa.

“Bazar Ramadan Komuniti Indera Mahkota 2 juga dilihat sebagai medan pertemuan sosial, di mana keluarga dan sahabat handai dapat berkumpul sambil menikmati juadah berbuka puasa.

“Dengan sambutan yang begitu menggalakkan, Teja Market optimis bazar ini akan terus menjadi pilihan utama warga Kuantan sepanjang Ramadan, sekali gus mengangkat konsep bazar komuniti ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Teja Market dilaksanakan oleh 10 orang yang menjadi tulang belakang termasuk pasukan media yang menjadi penggerak utama kejayaan penganjuran program inisiatif tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN