TEHERAN: Anak kepada bekas pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, dinamakan sebagai calon utama untuk menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS)-Israel Sabtu lalu.
Para ulama kanan yang bertanggungjawab memilih pemimpin seterusnya mengadakan perbincangan pada Selasa dan menilai beberapa calon, dengan Mojtaba dilihat paling menonjol dalam perebutan kuasa itu.
Pegawai berkata, para ulama sedang mempertimbangkan untuk mengumumkan Mojtaba sebagai pengganti bapanya pada Rabu, namun beberapa pihak menyuarakan bimbangan ia boleh menjadikannya sasaran AS-Israel.
Sumber yang enggan dikenali mendedahkan butiran perbincangan dalaman yang sensitif mengenai pemimpin tertinggi baharu Iran.
Para ulama, dikenali sebagai Perhimpunan Pakar, mengadakan dua mesyuarat secara maya, pada sebelah pagi dan petang semalam.
Israel dikatakan menyerang sebuah bangunan di Qum, di mana perhimpunan itu dijadualkan bertemu dan memilih pemimpin tertinggi baharu, lapor Fars News.
Pakar Iran dan Syiah di Universiti John Hopkins, Prof. Vali Nasr berkata, pemilihan Mojtaba sebagai pengganti akan menjadi keputusan mengejutkan, dan berpotensi memberi petunjuk pentang tentang arah politik negara itu.
“Beliau sudah lama dijangka menjadi pengganti, tetapi dalam dua tahun kebelakangan ini, namanya seolah-olah hilang dari radar. Jika beliau dipilih, ia menunjukkan pihak Pengawal Revolusi yang lebih tegas,” katanya.
Mojtaba, 56, adalah tokoh berpengaruh walaupun bersifat tertutup, yang beroperasi di sebalik bayang-bayang empayar bapanya.
Beliau dikenali kerana mempunyai hubungan rapat dengan Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Menurut tiga pegawai yang mengetahui proses pemilihan, pengawal revolusi itu mendesak pelantikan Mojtaba, dengan alasan beliau memiliki kelayakan yang diperlukan untuk memimpin Iran dalam tempoh krisis.
Calon lain yang turut dinamakan termasuk Ayatollah Alireza Arafi, ulama dan ahli undang-undang yang merupakan sebahagian daripada majlis peralihan tiga orang selepas kematian Khamenei, serta cucu pengasas Revolusi Islam, Hassan Khomeini.
Kedua-dua Arafi dan Hassan Khomeini dilihat sebagai golongan sederhana, dengan Hassan Khomeini rapat dengan faksi reformis yang kini diketepikan dalam politik Iran.- NYTimes










