TEMERLOH: Persatuan Intergrasi Madani Malaysia (AMIM) meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran yang hadir mengiringi seorang individu tertuduh di mahkamah supaya mempertimbang melepaskan jawatan demi menjaga maruah institusi kerajaan.
Timbalan Pengerusinya, Abdullah Hakim Ahmad berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan keraguan terhadap komitmen kerajaan dalam menegakkan undang-undang tanpa pilih kasih.
“Selain itu, ia juga penting untuk memulihkan keyakinan rakyat dan memastikan prinsip keadilan serta integriti terus menjadi tonggak utama dalam pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kelmarin, Kulasegaran dilihat mengiringi aktivis, Arun Dorasamy ke Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Abdullah Hakim berkata, AMIM mengecam sekeras-kerasnya tindakan Kulasegaran yang bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti seorang anggota kerajaan, malah mencemarkan imej pentadbiran yang seharusnya menjunjung prinsip keadilan, ketelusan dan profesionalisme.
Katanya, sebagai pemimpin kerajaan Madani yang membawa agenda Reformasi, Timbalan Menteri itu sewajarnya menjaga batas antara sokongan peribadi dan tanggungjawab rasmi.
“Kehadiran di mahkamah dalam kapasiti sedemikian jelas memberi gambaran seolah-olah kerajaan campur tangan dalam proses undang-undang, sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara.
“Tambahan pula, dengan latar belakang beliau sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang undang-undang, tindakan ini amat mengecewakan. Seharusnya beliau lebih arif dalam menjaga tadbir urus, menegakkan integriti, dan memahami batas-batas yang perlu dipelihara bagi mengelakkan konflik kepentingan,” katanya.
Menurutnya, sikap sedemikian bukan sahaja menyalahi prinsip asas undang-undang, malah menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa pilih kasih.
“Lebih membimbangkan, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk normalisasi campur tangan politik dalam urusan mahkamah. Ia bukan sahaja mengundang kritikan daripada masyarakat awam, malah membuka ruang kepada pihak lawan untuk mempertikaikan kesungguhan kerajaan dalam menegakkan undang-undang secara bebas.
“Seorang pemimpin yang berpengalaman dalam bidang undang-undang seharusnya sedar setiap langkah dan tindakannya akan dinilai daripada sudut integriti, keadilan serta kesesuaian dengan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya. – UTUSAN










