47 masjid di Perlis berjaya anjurkan 78 kumpulan tadarus - Utusan Malaysia

47 masjid di Perlis berjaya anjurkan 78 kumpulan tadarus

TUANKU Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam al-Quran Peringkat Negeri Perlis 2026 di Masjid Al-Muqarrabin, Behor Empiang, Kangar baru-baru ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Tadabbur dan Khatam al-Quran peringkat negeri Perlis 2026 di Masjid Al-Muqarrabin, Behor Empiang di sini baru-baru ini.

Ia melibatkan seramai 1,089 peserta pada tahun ini.

Pada majlis tersebut, puteri sulung baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang juga merupakan penaung program berkenaan, dalam ucapan menzahirkan tahniah kepada 47 buah masjid yang berjaya menganjurkan 78 kumpulan tadarus di seluruh Perlis pada tahun ini.

Usaha murni itu mencerminkan komitmen umat negeri Perlis dalam menghidupkan bulan Ramadan dengan amalan yang penuh keberkatan dan wajar diteruskan pada masa hadapan.

Pada masa sama, menggalakkan masjid-masjid yang masih belum mempunyai kumpulan tadarus untuk mengambil inisiatif mewujudkannya.

Program tahunan tersebut dianjurkan oleh Majlis Gabungan Persatuan Wanita Negeri Perlis (NCWO Perlis) di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Mastika Junaidah Husin dengan kerjasama Pertubuhan Khidmat Wanita Negeri Perlis (PERWANIS) serta Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI).

Aktiviti dimulakan dengan Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran, diikuti sesi tadabbur al-Quran yang dipimpin oleh ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar Al-Hafiz.

Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 22 peserta tadarus serta enam imam dan bilal masjid.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh penghayatan terhadap al-Quran, malah turut menyemarakkan semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat khususnya dalam usaha memartabatkan syiar Islam serta mengimarahkan institusi masjid di Perlis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN