KUANTAN: Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meneruskan tradisi menyemarakkan kemeriahan menjelang lebaran melalui Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026, di sini hari ini, dengan mengagihkan sumbangan bakul makanan kepada 400 keluarga kurang berkemampuan di Pahang.
Sumbangan disampaikan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Pada tahun ini, sumbangan disalurkan kepada penerima yang melibatkan 11 daerah di negeri Pahang, iaitu Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh bagi memastikan bantuan dapat disasarkan secara menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.
Setiap keluarga terpilih menerima sumbangan pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti minyak masak, beras, bihun, gula, tepung, garam, kari ayam dalam tin, teh dan minuman coklat malta.
Selain itu, mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti kacang tanah, biskut raya, beras pulut, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang.
Menurut Mohammad Ahmad Shazly, program itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Petronas untuk membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membawa kegembiraan serta sedikit kelegaan kepada para penerima dan keluarga,” katanya pada Majlis Iftar sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, inisiatif yang sama turut dilaksanakan di negeri-negeri Pantai Timur lain, iaitu Terengganu dan Kelantan.
“Secara keseluruhan, Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal memanfaatkan seramai 1,250 keluarga di Pantai Timur, membolehkan mereka merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang,” katanya. – UTUSAN










