LA PAZ: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas sebuah pesawat kargo tentera yang membawa wang kertas terhempas berhampiran ibu negara Bolivia kelmarin.
Kejadian itu turut merosakkan kira-kira 12 kenderaan di lebuh raya dan menyebabkan wang kertas bertaburan di atas jalan, menurut pegawai tempatan.
Pihak Berkuasa Navigasi Udara dan Lapangan Terbang Bolivia (NAABOL) berkata, pesawat C-130 itu berlepas dari bandar timur Santa Cruz dan terhempas semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto.
Rakaman media tempatan juga menunjukkan polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang cuba mengutip wang kertas di lokasi nahas.
Ketua bomba, Pavel Tovar berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan mangsa maut sama ada daripada pesawat atau di lebuh raya berhampiran lapangan terbang.
Bomba turut melaporkan sekurang-kurangnya 28 orang cedera dalam kejadian tersebut.
Kementerian Pertahanan berkata, wang yang diangkut dalam pesawat terhempas itu tidak mempunyai nombor siri rasmi, maka ia tidak sah atau tiada kuasa membeli.
Pejabat Pendakwa Raya La Paz menerima laporan mengenai rompakan perniagaan oleh individu yang mengambil keselamatan daripada kekacauan akibat nahas itu.
“12 individu ditahan untuk siasatan,” kata pendakwa Luis Carlos Torres kepada pemberita.
Susulan nahas itu, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa El Alto, kedua paling penting di Bolivia, digantung sementara.
Hospital di bandar tersebut juga melancarkan kempen derma darah bagi merawat mangsa yang cedera.- AFP










