KUANTAN: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) masih giat mengesan anak-anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 untuk dibantu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, YKM percaya masih ramai golongan itu di luar sana yang memerlukan bantuan.
“Kita percaya masih ramai di luar sana. Justeru, kita mohon kerjasama wakil rakyat, pegawai daerah atau pemimpin masyarakat untuk bersama-sama mengesan anak-anak ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YKM di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.
Berkenan berangkat pada majlis itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Terdahulu, senyuman jelas terukir di wajah 102 insan istimewa di bawah naungan YKM apabila mereka disantuni oleh Al-Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal sempena Program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri di pasaraya Parkson pusat beli belah East Coast Mall (ECM) di sini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, YKM yang ditubuhkan pada Oktober 2021 lahir daripada keinsafan bahawa pandemik Covid-19 sudah meninggalkan kesan yang begitu mendalam, khususnya kepada anak-anak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya sekali.
“Tujuan utama penubuhan yayasan ini adalah untuk memastikan anak-anak tersebut tidak terpinggir, sebaliknya diberikan pembelaan yang sewajarnya agar masa depan mereka terjamin.
“Alhamdulillah, sehingga hari ini anak-anak yayasan menerima bantuan bulanan bagi meringankan beban sara hidup dan bantuan khas seperti bantuan perayaan serta bantuan kembali ke sekolah,” katanya.
Namun, katanya, yayasan itu tidak mahu sekadar membantu daripada segi kebajikan asas.
“Kita mahu membina masa depan mereka, sejajar dengan objektif penubuhan yayasan ini untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Malah tahun 2026 telah diisytiharkan sebagai Tahun Pendidikan YKM.
“Fokus kita adalah untuk memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan yang terbaik. Antaranya pada tahun ini, YKM menyediakan tuisyen dalam talian secara percuma kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya. – UTUSAN










