KUALA PILAH: Seorang wanita warga emas cedera di leher selepas ditikam anak perempuannya dalam kejadian di Kampung Segineh Inas, Johol, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai satu pergaduhan di sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira pukul 7.08 petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 50-an dipercayai telah menikam leher ibunya yang berusia 80-an menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin.
“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan mangsa dilaporkan stabil serta masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Mustafah berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan mempunyai masalah kesihatan mental.
Sehubungan itu, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.










