JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan berlaku wabak Tuberkulosis (Tibi) di Kota Tinggi, dengan 33 kes dikesan setakat ini.
JKNJ dalam kenyataan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi mengesahkan wabak itu dikesan di sebuah lokaliti di daerah itu pada 25 Januari lalu.
Jumlah tersebut meningkat kepada 33 kes yang dikesan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif kepada 804 orang kontak rapat sehingga semalam.
Katanya, kesemua pesakit telah menerima rawatan dan kini sedang menjalani pemantauan rapi di fasiliti kesihatan yang berdekatan.
“Terdapat satu kematian dilaporkan, melibatkan salah seorang pesakit tersebut.
“Bagaimanapun, kematian ini disahkan bukan disebabkan oleh penyakit Tibi yang dihidapi,” katanya.
JKNJ turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitarnya, khususnya mereka yang mengalami gejala batuk berpanjangan atau mempunyai sejarah kontak dengan pesakit Tibi supaya segera menjalani saringan kesihatan.-UTUSAN.










