WASHINGTON: Human Rights Watch (HRW) memberi amaran Presiden Donald Trump sedang mengubah Amerika Syarikat (AS) menjadi sebuah negara autoritarian ketika demokrasi global merosot ke tahap terendah dalam tempoh empat dekad.
Dalam laporan tahunan terbaharu, kumpulan advokasi dan penyelidikan berpangkalan di New York itu berkata, kepulangan Trump ke Rumah Putih mempercepatkan ‘kitaran kemerosotan’ hak asasi manusia, yang sebelum ini sudah tertekan akibat pengaruh Russia dan China.
“Susunan antarabangsa berasaskan peraturan sedang dihancurkan,” kata HRW.
Di AS, kumpulan itu mendakwa, Trump menunjukkan pengabaian secara terang-terangan terhadap hak asasi manusia serta pelanggaran yang serius.
HRW turut menyorot tindakan penempatan ejen bersenjata daripada Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), yang didakwa menjalankan ratusan serbuan ganas dan penindasan.
Kumpulan itu turut mengulangi dapatan AS terlibat dalam kes kehilangan paksa, jenayah di bawah undang-undang antarabangsa, apabila menghantar 252 pendatang Venezuela ke sebuah penjara keselamatan maksimum di El Salvador.
Dalam laporan terbaharu itu, HRW merekodkan dakwaan daripada lelaki-lelaki berkenaan, yang kemudian dibenarkan pulang ke Venezuela, bahawa mereka diseksa, termasuk dipukul dan menjadi mangsa penderaan seksual.
Pengarah Eksekutif HRW, Philippe Bolopion menggesa negara-negara untuk membentuk pakatan berdasarkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan bersatu, termasuk berdepan Trump yang menggunakan tarif sebagai tekanan.
Laporan setebal 529 muka surat itu berbeza dengan laporan hak asasi manusia terbaharu dikeluarkan Jabatan Negara AS, yang didakwa melunakkan penilaian terhadap negara-negara mesra Trump.- AFP










