WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengumumkan satu perjanjian perdagangan untuk mengurangkan tarif ke atas India dan menyatakan bahawa Perdana Menteri, Narendra Modi telah berjanji untuk menghentikan pembelian minyak dari Russia susulan perang di Ukraine.
Trump berkata, beliau mengurangkan cukai import ke atas barangan India kepada 18 peratus.
Sebelum ini, beliau telah mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus ke atas kebanyakan produk, selain tambahan 25 peratus lagi susulan pembelian minyak Moscow oleh New Delhi.
Perjanjian itu meredakan ketegangan selama berbulan-bulan berhubung pembelian minyak India dan memulihkan hubungan rapat antara Trump dan individu yang disifatkannya sebagai salah seorang sahabat terbaik saya.
Namun, walaupun Modi mengucapkan terima kasih kepada Trump atas panggilan telefon dan pengurangan tarif tersebut, beliau tidak menyebut langsung dakwaan Trump mengenai penghentian pembelian minyak dari Russia.
“Atas dasar persahabatan dan rasa hormat terhadap Perdana Menteri Modi dan selaras dengan permintaannya, berkuat kuasa serta-merta, kami bersetuju untuk memeterai satu Perjanjian Perdagangan antara Amerika dan India,” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial miliknya,Truth Social.
Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu AFP bahawa tambahan tarif 25 peratus yang dikenakan Trump ke atas India pada bulan Ogos tahun lalu susulan pembelian minyak dari Russia juga akan digugurkan.
Trump menambah bahawa Modi bersetuju untuk berhenti membeli minyak Russia dan membeli lebih banyak barangan dari Amerika serta berkemungkinan dari Venezuela. Ia akan membantu menamatkan perang di Ukraine.
Washington kini secara efektif mengawasi eksport minyak Venezuela selepas menggulingkan pemimpin negara Amerika Selatan itu, Nicolas Maduro dalam satu operasi ketenteraan pada bulan lalu. – AFP










