Trump beri kata dua kepada Cuba

Trump beri kata dua kepada Cuba

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pihak berkuasa Cuba perlu mencapai persetujuan dengan Washington sekiranya mahu mengelakkan krisis kemanusiaan yang meruncing, demikian amaran yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Awal minggu lalu, Trump telah menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas barangan dari mana-mana negara yang menjual minyak kepada Cuba.

Langkah itu dilihat sebagai pengukuhan sekatan ekonomi terhadap negara Caribbean tersebut yang telah bermula sejak 1960-an.

Tindakan drastik itu menyusul selepas insiden penculikan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh Washington pada bulan lalu yang mana Venezuela sebelum ini merupakan sumber bekalan minyak utama buat Cuba.

Mexico dilaporkan telah meningkatkan penghantaran minyak ke Cuba dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Jumaat bagaimanapun memberi amaran bahawa perintah Trump itu boleh mencetuskan krisis kemanusiaan berskala besar yang akan menjejaskan hospital, bekalan makanan dan perkhidmatan asas lain buat rakyat Cuba secara langsung.

“Ia tidak semestinya menjadi krisis kemanusiaan. Saya fikir mereka (Cuba) mungkin akan datang kepada kami untuk membuat perjanjian. Jadi, Cuba akan bebas semula,” kata Trump ketika ditanya oleh wartawan mengenai komen Sheinbaum di dalam pesawat rasmi presiden AS, Air Force One pada Sabtu.

“Kita sedang melihat situasi yang sangat buruk buat Cuba. Mereka tidak mempunyai wang. Mereka tidak mempunyai minyak. Selama ini mereka bergantung kepada wang dan minyak Venezuela, dan kini semua itu sudah terhenti,” tambahnya lagi.

Presiden AS itu menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua pihak akan mencapai kata sepakat dan menegaskan bahawa Washington akan berbuat ‘baik’ kepada Havana.

Trump tidak menjelaskan secara terperinci konsesi yang dituntut daripada kerajaan Cuba, sekadar menyatakan bahawa terdapat ramai orang di AS ketika ini yang mahu pulang ke negara tersebut dan Washington mahu menyelesaikan perkara itu. – AGENSI

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova pada Sabtu menuduh Washington sedang melakukan penjerutan ekonomi terhadap Cuba.

Beliau menegaskan kembali tentangan Moscow terhadap sekatan unilateral yang tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sambil menyatakan keyakinan bahawa Havana mampu mengatasi kesukaran ekonomi tersebut.

Pihak berkuasa Cuba telah mengisytiharkan kecemasan antarabangsa susulan kempen tekanan Trump, yang disifatkan mereka sebagai ancaman luar biasa yang berpunca daripada sayap kanan neo-fasis anti-Cuba di AS.

Laporan daripada Financial Times sebelum ini mendakwa bahawa Cuba kini hanya mempunyai simpanan minyak yang mencukupi untuk tempoh 15 hingga 20 hari berdasarkan tahap permintaan dan pengeluaran domestik semasa. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN