ROMPIN: Tiada istilah tanah adat atau tanah warisan yang memberikan hak menduduki secara bebas oleh mana-mana pihak di negeri ini.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, hak menduduki tanah oleh masyarakat Orang Asli hanya wujud melalui pewartaan yang sah oleh pihak kerajaan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954.
Baginda menegaskan, mana-mana pendudukan, penerokaan atau penguasaan tanah tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
“Dalam menjaga kedaulatan negeri ini agar terus aman, makmur dan sejahtera saya ingin menegaskan bahawa isu pencerobohan tanah bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan, ia bukan juga bermusim yang hangat seketika.
“Ia adalah barah yang telah lama berakar, merosakkan sistem pentadbiran tanah, mencabar kedaulatan undang-undang dan menzalimi hak negeri serta rakyat,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Teluk Gading dan Majlis Berbuka Puasa di Rompin di sini semalam.
Al-Sultan Abdullah bertitah, tanah yang diwartakan sebagai kawasan pendudukan Orang Asli di negeri ini melibatkan 27 kampung seluas 7,706 hektar.
Baginda turut bertitah bahawa, sebanyak 83 kampung Orang Asli dalam proses ukur dan 18 kampung belum melalui permohonan warta melibatkan dengan keluasan 24,532 hektar manakala tanah yang masih belum diukur melibatkan 61 kampung seluas 16,253 hektar.
“Saya meletakkan sepenuh harapan kepada pihak kerajaan negeri dan Persekutuan serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) agar tidak sama sekali mengabaikan kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli sebaliknya melaksanakan perlindungan secara holistik, berperingkat dan tanpa henti di bawah peruntukan undang-undang.
“Namun jangan sesekali menjadikan proses ini sebagai alasan untuk menceroboh, menguasai, membuka ladang haram dan mengeksploitasi tanah negeri,” titah baginda.
Terdahulu media melaporkan 21 individu terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan kerana disyaki menceroboh tanah milik KDPB Sultan Pahang seluas 718.281 hektar berhampiran Kampung Jemeri di Rompin.
Sultan Pahang turut dimaklumkan ada pihak-pihak yang menjadi tali barut kepada Orang Asli justeru akan melihat perkara itu dari semasa ke semasa selain memaklumkan pihak polis akan memberi nama pihak terbabit kepada baginda dalam tempoh terdekat. – UTUSAN










