Thailand perketat kawalan senjata api, semak latar belakang pemilik

Thailand perketat kawalan senjata api, semak latar belakang pemilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kerajaan Thailand mengumumkan pelaksanaan tindakan tegas dan besar-besaran terhadap pemilikan senjata api di seluruh negara bermula 19 Februari lalu.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Aiyarin Phanrit berkata, langkah itu diambil susulan arahan segera daripada Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, yang mahu semua langkah kawalan senjata api disemak semula secara komprehensif dan dikuatkuasakan dengan lebih ketat.

Jabatan Pentadbiran Wilayah mengarahkan pegawai tempatan di seluruh negara untuk memperketat peraturan di semua kawasan bagi meningkatkan keselamatan awam serta melindungi nyawa dan harta benda rakyat.

Di bawah arahan baharu tersebut, proses pembelian senjata api akan diperiksa dengan lebih teliti. Pendaftar tempatan diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan latar belakang yang sangat ketat terhadap semua pemohon.

Ini termasuk pemeriksaan mendalam terhadap tingkah laku peribadi pemohon, rakan sekutu, serta sebarang kemungkinan penglibatan dengan aktiviti haram. Proses saringan itu akan tertakluk sepenuhnya di bawah Seksyen 13 Akta Senjata Api 1947.

Bagi individu yang sudah pun memiliki lesen senjata api, pegawai tempatan dan pemimpin masyarakat akan memantau tingkah laku mereka secara berterusan bagi memastikan mereka kekal layak memegang lesen tersebut.

Sekiranya pemegang lesen didapati mengancam ketenteraman awam, pihak berkuasa diarahkan untuk mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang pentadbiran dan jenayah.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri Thailand turut melanjutkan tempoh penggantungan sementara bagi pengeluaran lesen membawa senjata api di tempat awam.

Larangan yang dikuatkuasakan sejak 20 Disember 2023 ini menghalang pegawai daripada mengeluarkan permit membawa senjata api kepada orang awam, sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah serta mencegah keganasan di tempat awam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN