KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan individu paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memulihkan imej badan induk bola sepak negara itu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menegaskan, minat dan pengalaman baginda dalam bidang sukan melayakkan Al-Sultan Abdullah untuk sekali lagi menjawat jawatan tersebut.
“Baginda pernah menerajui FAM dari tahun 2014 hingga 2017 dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dari 2008 hingga 2015.
“Kepimpinan Sultan Pahang dalam sukan sebelum ini terbukti berjaya mengangkat martabat hoki negara ke peringkat antarabangsa. Justeru, dengan wibawa dan pengalaman yang ada, baginda tokoh paling sesuai untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap FAM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sharkar menambah, sokongan padu daripada seluruh rakyat Pahang dan komuniti bola sepak negara akan menjadi dorongan kuat kepada Sultan Abdullah untuk mengangkat semula imej FAM yang sebelum ini berdepan pelbagai cabaran.
Sultan Abdullah pernah berkhidmat sebagai Presiden FAM selama tiga tahun selepas menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Ahmad Shah. Baginda juga pernah memegang jawatan di peringkat tertinggi bola sepak sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta ahli kepimpinan eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Terdahulu, bekas Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar dalam satu temu bual dilaporkan sebagai berkata, berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah baginda, beliau mencadangkan Sultan Pahang agar kembali menjadi presiden badan induk itu.
Saifuddin membuat cadangan berkenaan kerana beliau melihat Al-Sultan Abdullah bukan sahaja sedia mendengar pandangan pelbagai pihak, tetapi juga hanya akan membuat keputusan selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM.
Jumaat lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyifatkan Al-Sultan Abdullah paling layak untuk mengemudi FAM berdasarkan pengalaman luas dimiliki baginda dalam bidang sukan dan bola sepak. – UTUSAN










