NEW YORK: SpaceX milik Elon Musk memohon untuk melancarkan sejuta satelit ke orbit Bumi bagi menggerakkan kecerdasan buatan (AI).
Permohonan itu mendakwa ‘pusat data orbit’ adalah cara paling cekap dari segi kos dan tenaga untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kuasa pengkomputeran AI.
Secara tradisinya, pusat data sebegini adalah gudang besar penuh dengan komputer berkuasa yang memproses dan menyimpan data.
Firma aeroangkasa milik Musk itu mendakwa keperluan pemprosesan akibat penggunaan AI yang meluas kini melebihi keupayaan daratan.
Langkah ini akan meningkatkan bilangan satelit SpaceX di orbit secara drastik. Rangkaian Starlink sedia ada, hampir 10,000 satelit, sudah pernah dituduh menimbulkan kesesakan di angkasa, tuduhan yang dinafikan Musk.
Menurut permohonan yang difailkan pada Jumaat dengan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), rangkaian baharu itu boleh merangkumi sehingga satu juta satelit bertenaga solar, namun tiada jadual masa ditetapkan untuk pelaksanaannya.
SpaceX mendakwa sistem itu akan menyediakan kapasiti komputer yang diperlukan untuk melayani berbilion pengguna di seluruh dunia.
Ia juga dianggap sebagai langkah pertama ke arah menjadi tamadun tahap Kardashev II — satu tamadun yang dapat memanfaatkan sepenuhnya tenaga Matahari, merujuk kepada skala masyarakat asing hipotetikal yang dicadangkan oleh seorang ahli astronomi pada 1960-an.
Musk menulis di laman media sosialnya, X: “Satelit-satelit ini sebenarnya akan berada begitu jauh antara satu sama lain sehingga sukar dilihat dari satu ke yang lain. Angkasa terlalu luas sehingga sukar difahami.”
Seperti satelit Starlink, yang menyediakan internet berkelajuan tinggi, satelit baharu ini akan beroperasi di orbit Bumi rendah pada ketinggian antara 500 hingga 2,000 km.
SpaceX mendakwa pusat data orbit, konsep yang juga sedang diterokai oleh beberapa syarikat lain, akan menjadi alternatif lebih mesra alam berbanding pusat data tradisional, yang memerlukan tenaga dan air yang banyak untuk penyejukan.
Dalam perkembangan lain, seorang pakar turut memberi amaran bilangan kenderaan di orbit rendah yang semakin meningkat meningkatkan kemungkinan perlanggaran antara objek, yang boleh merosakkan mesin atau menyebabkan bahan jatuh kembali ke Bumi.
Sementara itu, pada 2024, ahli astronomi mengadu gelombang radio dari rangkaian Starlink menyilaukan teleskop mereka dan menjejaskan penyelidikan.
Musk sebelum ini menolak dakwaan bahawa satelitnya mengambil terlalu banyak ruang dan menyekat pesaing.- BBC










