JOHOR BAHRU: PKR menyerahkan kepada lembaga disiplin parti itu untuk mengambil tindakan terhadap bekas timbalan presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana melanggar etika dan disiplin parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, tindakan itu hanya boleh diambil terhadap Ahli Parlimen Pandan itu sekiranya ada aduan dibuat terhadapnya kepada Lembaga Disiplin PKR.
Tambahnya, apa bentuk tindakan yang boleh diambil, ia bergantung kepada lembaga disiplin itu sendiri.
“Sekiranya ada aduan, ia disalurkan kepada lembaga disiplin. Dan lembaga disiplin yang ambil tindakan, sekiranya ada aduan. Itu tanya lembaga disiplin,” katanya.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan 2026 di Bazar Ramadan Tapak Perling Mall, di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, inisiatif BRR yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mendapat sambutan dan meningkat kepada 116 lokasi di seluruh negara.
Katanya, ini menunjukkan perkembangan yang positif setelah pertama kali dilancarkan pada 27 Mac 2023, hanya melibatkan 41 lokasi.
Katanya, inisiatif itu diteruskan bagi membantu rakyat mendapatkan pilihan juadah pada harga RM5 dan ke bawah di BRR melibatkan 3,000 peniaga sejak dianjurkan empat tahun lalu.
“Pada peringkat awal, hanya ada 41 lokasi BRR dan ia meningkat saban tahun. Di Johor terdapat sembilan BRR pada tahun ini hasil kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Peniaga yang menyertai BRR mahu berkongsi rezeki dan percaya walaupun untungnya sedikit tetapi mereka mendapatkan keberkatan yang lebih,” katanya.-UTUSAN.










