Selepas 10 tahun, bazar Ramadan ‘stadium’ kembali - Utusan Malaysia

Selepas 10 tahun, bazar Ramadan ‘stadium’ kembali

SELEPAS lebih 10 tahun, bazar Ramadan di Stadium Tuanku Syed Putra kembali yang pernah menjadi tumpuan rakyat Perlis kembali dianjurkan di Kangar, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas lebih 10 tahun, bazar Ramadan di Stadium Tuanku Syed Putra di sini yang pernah menjadi tumpuan rakyat Perlis satu ketika dahulu kembali dianjurkan bersempena bulan puasa tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, bazar Ramadan di Kangar yang akan dianjurkan di lokasi berkenaan bakal menyediakan 200 lot bagi menempatkan peniaga-peniaga di situ.

Katanya, pemilihan lokasi itu bagi memberi keselesaan buat pengguna berikutan kawasan tersebut mempunyai ruang parkir luas dan beberapa akses laluan keluar masuk kenderaan yang lebih teratur serta mudah.

“Tapak ini sememangnya sinonim dengan penduduk Perlis suatu ketika dahulu dan pada tahun ini, MPK mengambil inisiatif menghidupkan semula kemeriahan suasana di lokasi berkenaan yang mempunyai nostalgia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebagai rekod, kawasan parkir di stadium berkenaan pada era 90-an merupakan antara lokasi tumpuan penduduk negeri ini dengan penganjuran pasar malam pada setiap Rabu dan pengoperasian bazar Ramadan.

Affendi berkata, MPK juga menawarkan sewaan tapak berpatutan di lokasi bazar berkenaan iaitu pada kadar RM10 sehari dan proses cabutan undi tapak berkenaan pula bakal dilaksanakan pada 12 Februari ini.

“Kita sediakan 200 lot tapi jika sambutan memberangsangkan, MPK akan menambah lagi jumlah lot niaga tersebut. MPK menawarkan kadar sewaan rendah bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga makanan yang akan memberi kesan kepada pengguna,” katanya.

Affendi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga mendapat kerjasama baik daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak bagi kembali menjayakan pelaksanaan bazar Ramadan di lokasi tersebut.

Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan itu berjaya, MPK juga mempunyai perancangan untuk meneruskan semula penganjuran pasar malam di tapak berkenaan selepas ini.

“Kawasan itu sememangnya sesuai bagi pelaksanaan bazar atau pasar malam malah lokasi itu juga sememangnya sinonim dengan penduduk Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN