WASHINGTON: Romania bersedia memindahkan 1,000 kanak-kanak dari Gaza untuk mendapatkan rawatan di hospital negaranya dan menyumbang kepada pembinaan semula institusi awam utama.
Perkara itu diumumkan Presiden Romania, Nicusor Dan, ketika pemimpin berkumpul di Washington bagi mesyuarat pertama Lembaga Keamanan yang dipimpin Presiden Donald Trump.
Beliau ketika berucap dalam mesyuarat itu menyifatkan inisiatif Trump sebagai pelan keamanan yang komprehensif dan stabil serta memuji usaha dan hasil di bahagian lain dunia.
“Saya percaya semua orang menginginkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Gaza. Persoalannya bagaimana untuk bertindak,” katanya.
Dari sudut kemanusiaan, Dan berkata, Romania bersedia meningkatkan bilangan penerbangan untuk memindahkan kanak-kanak sakit dari Gaza bagi mendapatkan rawatan di hospitalnya.
Beliau turut menekankan negara itu telah melaksanakan operasi serupa dan boleh memberikan sokonga kepada sehingga 4,000 ahli keluarga.
Katanya, Romania mempunyai kepakaran kukuh dalam sistem tindak balas kecemasan, termasuk perkhidmatan ambulans dan bomba, serta boleh membantu membina semula sistem sambil menyediakan infrastruktur dan peralatan yang diperlukan.
Dan turut memaklumkan, Romania menawarkan beberapa biasiswa untuk pelajar Palestin dan boleh melanjutkan program tersebut serta membantu membina semula serta menambah baik sekolah di Gaza.
Menekankan sokongan institusi sebagai sumbangan paling penting, Dan berkata, Romania mempunyai pengalaman terdahulu dalam membina semula institusi teras negara termasuk polis, sistem kehakiman dan pentadbiran awam di bahagian lain dunia, dan bersedia menyediakan pakar serta jurulatih bagi membantu usaha serupa di Gaza.
Beliau juga menekankan Romania mempunyai ‘hubungan baik secara tradisi dengan rakyat Yahudi dan rakyat Palestin’, yang menurutnya akan membantu memajukan usaha ke arah keamanan, dan menutup ucapannya dengan berkata Romania boleh diharap untuk menyokong.- ANADOLU










