KANGAR: Sejumlah RM17.32 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Pembangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perlis untuk tahun ini, bertujuan memperkasa ekosistem keusahawanan bumiputera di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan simbolik penyerahan peruntukan itu dalam Majlis Santapan Malam bersempena Program Konvoi Gemilang 60 Tahun Mara di Arked Mara di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Penyerahan peruntukan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman kepada Pengarah Mara Negeri, Mohd Azam Jamaluddin.
Sebagai rekod, Program Pembangunan Mara Negeri Perlis memberi penekanan kepada pengukuhan keupayaan usahawan bumiputera menerusi pelbagai inisiatif strategik merangkumi bidang digital, teknikal dan runcit selaras dengan keperluan pasaran semasa.
Antara program utama dilaksanakan termasuk Program BizStart, latihan pendigitalan perniagaan serta pembangunan vendor industri khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik.
Selain itu, inisiatif ini juga adalah bagi memastikan usahawan bumiputera di Perlis terus berdaya saing, mampan dan berupaya berkembang.
Langkah ini juga sekali gus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri khususnya dalam menghadapi landskap yang semakin mencabar pada masa kini. -UTUSAN










