KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) menyokong penuh ketegasan kerajaan negeri dalam menangani isu pencerobohan tanah oleh 21 individu daripada komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Jemeri di Rompin, dekat sini.
Presidennya, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pendudukan tanah secara turun-temurun tidak boleh dijadikan alasan atau dianggap sebagai lesen sah untuk menduduki kawasan berkenaan kerana ia berpotensi mencetuskan kekacauan pentadbiran negeri dan negara.
Menurutnya, tindakan tegas kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah langkah tepat bagi memastikan pentadbiran tanah berjalan mengikut undang-undang dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Di Pahang, tidak pernah wujud pewartaan ‘Tanah Adat’ seperti yang sering didakwa pihak tertentu. Tuduhan kononnya kerajaan negeri mengabaikan hak adat hanyalah cubaan mengelirukan rakyat yang tidak memahami kerangka perundangan sebenar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Haslihelmy berkata, jika dakwaan tanah adat terus dijadikan alasan, ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran kerana tiada rekod ataupun dokumen sah yang diiktiraf oleh undang-undang.
Menurutnya, kerajaan negeri berhak mengambil tindakan demi menjaga ketenteraman dan memastikan segala urusan tanah diurus secara sah dan teratur.
“PSAP menyokong penuh langkah ini kerana ia bukan sahaja melindungi kepentingan rakyat tetapi juga menjamin kelangsungan pentadbiran negeri yang lebih sistematik,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas, sebaliknya memahami bahawa segala urusan tanah perlu berpandukan undang-undang dan peraturan yang sah.
Media sebelum ini melaporkan seramai 21 Orang Asli membabitkan empat lelaki dan 17 wanita ditahan polis di Rompin kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang. Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh pihak syarikat yang menguruskan ladang berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN










