Provokasi dron tidak jejas pelan rundingan AS-Iran

Provokasi dron tidak jejas pelan rundingan AS-Iran

PESAWAT pejuang F/A-18F Super Hornet berlepas dari dek penerbangan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln ketika menjalankan operasi penerbangan rutin di Laut Arab.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih mengesahkan masih merancang untuk mengadakan rundingan dengan pegawai Iran minggu ini, meskipun sebuah pesawat perang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh dron Teheran yang menghampiri sebuah kapal pengangkut di Laut Arab.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada wartawan, menjelaskan pertemuan itu dijangka masih akan berlangsung Jumaat ini.

“Saya baru sahaja bercakap dengan utusan khas AS, Steve Witkoff dan setakat ini rundingan tersebut masih dijadualkan.

“Presiden AS, Donald Trump sentiasa mahu mengutamakan diplomasi terlebih dahulu, tetapi sudah tentu ia memerlukan kerjasama kedua-dua pihak,” kata Leavitt di luar Sayap Barat Rumah Putih.

Pertemuan antara Witkoff, seorang ahli perniagaan yang dilantik Trump sebagai perunding konflik global dengan pegawai Iran berkemungkinan diadakan di Turkiye menurut sumber yang rapat dengan perkara itu kepada AFP.

Tentera AS sebelum ini memaklumkan sebuah jet pejuang halimunan F-35C menembak jatuh dron jenis Shahed-139 milik Iran yang bertindak agresif apabila menghampiri kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln pada Selasa.

Bagaimanapun tiada anggota tentera AS yang cedera dan tiada peralatan yang mengalami kerosakan dalam insiden tersebut.

Susulan berita tembakan dron tersebut, harga niaga hadapan minyak dilaporkan melonjak lebih AS$1 (RM3.92) setong.

Dalam satu lagi kejadian berasingan di Selat Hormuz hanya beberapa jam selepas insiden dron tersebut, pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dilaporkan mengganggu sebuah kapal dagang yang menggunakan bendera dan kru AS.

Leavitt turut berkata, Trump masih terbuka dengan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran, ketika sejumlah besar kapal perang AS kini ditempatkan di rantau Asia Barat.

“Sudah tentu, Presiden AS sentiasa mempunyai pelbagai pilihan dan itu termasuk penggunaan kekuatan ketenteraan. Pihak Iran mengetahui perkara itu lebih daripada sesiapa,” katanya dalam wawancara berasingan bersama Fox News.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN