TUMPAT: Polis Kelantan sudah mengenalpasti kedudukan wanita dikenali sebagai ‘Luna’, dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja yang meloloskan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, setakat ini pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand berhubung kes itu.
“Insya-Allah wanita itu akan dibawa pulang ke negara ini dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita sempena Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat Tahun Baharu Cina 05/2026 di Pasir Pekan di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang wanita dikenali sebagai ‘Luna’ yang di jejak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan rampasan bunga ganja di Kuala Krai, Kelantan dipercayai mendapat perlindungan kumpulan pengedar dadah aktif di Selatan Thailand.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, sumber perisikan Thailand berkata, suspek sering kali bertukar-tukar hotel penginapan di kawasan sempadan negara ini.
Katanya, selain itu wanita berusia 30-an itu dilaporkan menukar penampilan termasuk memakai hijab bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.-UTUSAN










