Perlis isytihar cuti peristiwa 1 Ramadan, penjawat awam pulang awal setiap Jumaat - Utusan Malaysia

Perlis isytihar cuti peristiwa 1 Ramadan, penjawat awam pulang awal setiap Jumaat

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri mengisytiharkan 1 Ramadan sebagai cuti peristiwa selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah yang turut memaklumkan sekiranya 1 Ramadan ditetapkan pada 18 Februari iaitu pada Rabu yang merupakan hari kelepasan am bersempena Tahun Baharu Cina, maka cuti peristiwa awal Ramadan berkenaan akan dibawa ke hari berikutnya.

“Sekiranya 1 Ramadan jatuh pada 19 Februari (Khamis), maka hari tersebut akan diisytiharkan sebagai cuti peristiwa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pengisytiharan cuti peristiwa tersebut adalah bertujuan memberi ruang dan peluang kepada umat Islam di negeri ini untuk menyambut dan menghayati kedatangan bulan Ramadan yang mulia dengan lebih sempurna.

Katanya, disamping itu, menggalakkan pengukuhan nilai kekeluargaan serta persediaan awal bagi melaksanakan ibadah puasa.

Sementara itu, Abu Bakar memberitahu, kerajaan negeri turut memutuskan waktu bekerja penjawat awam di Perlis pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan adalah bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

“Pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) pada Ramadan nanti, semua ketua jabatan di peringkat negeri bertanggungjawab memastikan urusan perkhidmatan termasuk perkhidmatan kaunter, berjalan lancar dan tidak terjejas.

“Semua ketua jabatan juga hendaklah membuat tindakan pemakluman berhubung waktu perkhidmatan kaunter sepanjang Ramadan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap pelanggan yang terlibat.

“Bagi petugas peringkat jabatan Persekutuan tertakluk kepada ketua jabatan masing-masing untuk diguna pakai pelaksanaan WBF ini,” katanya.

Beliau berharap agar keistimewaan pulang awal pada hari Jumaat sepanjang Ramadan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan kita sepanjang bulan yang mulia untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN