Penganjur Makar Fest XL mohon maaf, komited patuhi peraturan penganjuran acara akan datang

Penganjur Makar Fest XL mohon maaf, komited patuhi peraturan penganjuran acara akan datang

PENGANJUR Makar Fest XL tampil memohon maaf secara terbuka susulan pelanggaran syarat dan garis panduan hiburan yang ditetapkan Kerajaan Kelantan ketika persembahan Kugiran Masdor di pekarangan Mydin Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penganjur Makar Fest XL tampil memohon maaf secara terbuka susulan pelanggaran syarat dan garis panduan hiburan yang ditetapkan Kerajaan Kelantan ketika persembahan Kugiran Masdor di pekarangan Mydin Tunjong, di sini, Sabtu lalu.

Pengarah programnya, Issey Fazlisham berkata, pihak penganjur mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden berkenaan dan menegaskan komitmen untuk terus mematuhi segala peraturan serta ketetapan pihak berkuasa dalam penganjuran acara akan datang.

Katanya, Makar Fest XL yang berlangsung selama tiga hari itu telah dilaksanakan mengikut garis panduan dan enakmen hiburan yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandaraya Islam (MPKB-BRI), termasuk pelaksanaan langkah pencegahan sebelum acara pentas bermula.

“Kami menayangkan video berkaitan etika panggung dan memberikan peringatan berulang kali kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.

“Antara perkara yang ditekankan ialah pengasingan lelaki dan perempuan, larangan berjoget, menjaga kebersihan serta mematuhi adab dan tertib,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Makar Fest, malam tadi.

Issey memberitahu, sebagai pengacara, dia sendiri sentiasa mengingatkan penonton agar mematuhi peraturan setiap kali berada di atas pentas.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat segelintir individu yang bertindak di luar kawalan pihak penganjur sehingga berlaku pelanggaran terhadap garis panduan hiburan tersebut.

“Jumlah kehadiran penonton yang melebihi jangkaan menjadikan kawalan lebih mencabar di beberapa kawasan tertentu.

“Walaupun kawalan dilakukan dari bahagian hadapan hingga ke belakang, pasukan keselamatan dan krew bertindak segera sebaik pelanggaran dikesan,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, enganjur program Makar Fest XL yang berlangsung di pekarangan Mydin Mall, Tunjong di sini pada Khamis hingga Sabtu lalu berdepan denda maksimum RM30,000 selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, penganjur juga boleh disenarai hitamkan sekiranya gagal membayar kompaun yang dikenakan.

Katanya, susulan itu wang cagaran berjumlah RM8,000 turut dirampas selepas siasatan mendapati penganjur melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025 serta gagal mematuhi syarat lesen serta Garis Panduan Hiburan dan Sukan Negeri Kelantan 2025. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN