Parti pimpinan PM Jepun diramal menang besar

Parti pimpinan PM Jepun diramal menang besar

SANAE TAKAICHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Parti pimpinan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dijangka bakal memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya dewan rakyat pada Sabtu ini, menurut tinjauan akhbar Asahi pada Ahad.

Kemenangan dominan dalam pilihan raya tersebut akan mengukuhkan kedudukan Takaichi dalam partinya, sekali gus memberi mandat untuk melaksanakan dasar pengembangan fisikalnya.

Langkah ini bagaimanapun dikhuatiri akan meningkatkan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan Jepun.

Menurut tinjauan Asahi, Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Takaichi dijangka melepasi majoriti 233 kerusi daripada keseluruhan 465 kerusi yang dipertandingkan di dewan rakyat.

Ia merupakan peningkatan ketara berbanding 198 kerusi yang dimiliki LDP ketika ini.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa bersama rakan gabungannya, Parti Inovasi Jepun, pakatan pemerintah tersebut kemungkinan besar akan menguasai sehingga membolot 300 kerusi.

“Kemenangan besar LDP akan terus memperkukuh kuasa Takaichi. Pasaran tidak akan terkejut jika melihat peluang yang lebih tinggi untuk beliau meneruskan dasar fiskal proaktif utamanya, termasuk pemotongan cukai penggunaan,” kata pakar strategi bon kanan di Mitsubishi UFJ Morgan Stanley Securities, Keisuke Tsuruta.

Hasil bon kerajaan Jepun dilaporkan meningkat pada Isnin apabila pelabur mula mengambil kira kemungkinan Takaichi memperoleh mandat pilihan raya untuk melaksanakan dasar fiskal proaktif yang memfokuskan kepada perbelanjaan lebih besar dan pemotongan cukai.

Dalam pada itu, parti pembangkang terbesar, Centrist Reform Alliance, dilaporkan sedang bergelut dan mungkin kehilangan separuh daripada 167 kerusi sedia ada, lapor Asahi.

Gabungan pemerintah Takaichi kini hanya memegang majoriti tipis di dewan rakyat dan merupakan kumpulan minoriti di dewan negara.

Takaichi telah membubarkan parlimen bulan lalu dan mengumumkan pilihan raya mengejut pada 8 Februari bagi mendapatkan mandat untuk memulihkan ekonomi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN