ISLAMABAD: Pasukan keselamatan Pakistan menumpaskan sekurang-kurangnya 145 pengganas di wilayah Balochistan yang bergolak, susulan serangan bersenjata dan bom secara serentak yang meragut hampir 50 nyawa.
Serangan itu berlaku awal pagi Sabtu di beberapa lokasi di Balochistan barat daya, mengakibatkan kematian 31 orang awam, termasuk lima wanita, serta 17 anggota keselamatan.
Pengumuman mengenai operasi itu dibuat pada Ahad, sehari selepas kejadian tragik tersebut.
Serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pemisah Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), yang diharamkan, mendorong pihak berkuasa menetapkan sekatan keselamatan berbulan-bulan di wilayah itu, termasuk larangan perhimpunan awam, demonstrasi dan had pergerakan trafik, lapor akhbar Dawn.
Langkah itu juga melarang penggunaan penutup muka yang menyembunyikan identiti individu di tempat awam.
Ketua Menteri Balochistan, Sarfraz Bugti berkata kepada pemberita di Quetta, pasukan tentera dan polis bertindak segera bagi menangkis serangan itu, dan 145 anggota ‘Fitna al-Hindustan’, istilah yang digunakan kerajaan bagi merujuk BLA, dihapuskan.
Beliau menegaskan bilangan pengganas yang terbunuh dalam dua hari lepas merupakan yang tertinggi dalam beberapa dekad.
“Mayat 145 pengganas ini berada dalam jagaan kami, dan sebahagian daripada mereka adalah warganegara Afghanistan,” kata Bugti.
Beliau mendakwa pengganas yang disokong India cuba mengambil tebusan tetapi gagal sampai ke pusat bandar.
Tentera Pakistan memaklumkan 92 pengganas terbunuh pada hari Sabtu, manakala 41 lagi terbunuh pada hari Jumaat.
“Kami mempunyai laporan risikan bahawa operasi sebegini sedang dirancang, dan berikutan itu, kami memulakan operasi awal sehari sebelum kejadian,” tambah Bugti.
Bugti juga menuduh Afghanistan menyokong penyerang tersebut, dan berkata pemimpin kanan BLA beroperasi dari wilayah Afghanistan.
Bagaimanapun, kedua-dua New Delhi dan Kabul menafikan tuduhan itu.- AL JAZEERA










