PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) susulan pembekuan sementara perolehan berikutan dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini perkara berkenaan masih diteliti kedua-dua pihak bagi memastikan sebarang keputusan tidak menjejaskan kepentingan operasi serta kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bagaimanapun, katanya, keadaan semasa tidak menjejaskan kelancaran operasi ATM dan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara kekal berada pada tahap baik.
“Pihak kementerian telah pun dipanggil oleh Kementerian Kewangan untuk kita bincang perkara-perkara yang mungkin perlu diberi perhatian segera kerana tidak mahu menjejaskan operasi dan juga kesiapsiagaan Angkatan Tentera.
“Apa pun, saya ingin beri jaminan soal operasi, (ATM) berjalan dengan lancar dan baik. Soal kesiapsiagaan Angkatan Tentera terus dapat kita pertahankan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi RAJD, Askar Wataniah, semalam.
Pada 16 Januari lalu, akhbar ini melaporkan kerajaan mengambil langkah tegas membekukan sementara semua keputusan perolehan melibatkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan siasatan berjalan tanpa gangguan serta memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa pegawai kanan pengurusan tertinggi ATM didakwa di mahkamah berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan urusan perolehan pertahanan.
Antara yang didakwa termasuk Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, pegawai kanan ATM serta Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.
Kes berkenaan dikaitkan dengan pengurusan dana kebajikan termasuk Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) serta pembekalan di bawah Mindef melibatkan nilai kewangan yang besar, dengan jumlah keseluruhan mencecah jutaan ringgit. – UTUSAN










