ALOR SETAR: Eksekutif bank yang maut dipercayai ditikam oleh anaknya dalam kejadian di Tanjung Bendahara, di sini pagi tadi bakal melangsungkan perkahwinan kali kedua pada Jumaat depan.
Ibu tiri mangsa, Norsiah Yahya, 65, berkata, Allahyarham Zahrullail Basir, 52, bersama tunangnya berusia 57 tahun datang menziarahinya di Teluk Intan, Perak pada Selasa lepas untuk membincangkan majlis pernikahan dan persandingan pada 13 dan 14 Februari ini.
“Majlis akan diadakan di rumah kami di Teluk Intan dan arwah bersama tunangnya datang untuk berbincang persiapan terakhir. Arwah sungguh gembira untuk berkahwin semula dan semua persiapan sudah disediakan termasuk hantaran.
“Tidak sangka jadi begini, majlis perkahwinan itu akhirnya akan menjadi majlis tahlil,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara di sini hari ini.
Norsiah memberitahu, mereka menerima berita tentang kematian anak kedua daripada enam beradik itu kira-kira pukul 9 pagi tadi sebelum bergegas ke Alor Setar.
“Suami (Basir Kosop, 70) dapat panggilan daripada anak ketiga mangsa yang beritahu ibunya ditikam, menggigil kami semua. Saya dimaklumkan kejadian disedari anaknya itu yang cuba mengejut arwah ketika ingin ke kolej.
“Mangsa tinggal bersama tiga anak berusia 18, 13 dan lapan tahun. Sementara tiga anak lain berumur 29, 28 dan 25 tahun menetap di luar. Anak keempat arwah sempat cerita tentang kejadian bahawa terdapat kesan tikaman pada beberapa bahagian badan. Kejadian ini amat kejam dan kami tidak menyangka ia terjadi kepada arwah yang juga seorang anak yang bertanggungjawab dan prihatin dengan kami,” katanya.
Sementara itu, menurut adik mangsa, Zuriani, 47, mereka sekeluarga tidak menyangka perkara itu terjadi kepada arwah di saat-saat dia dilihat gembira kerana ingin memulakan hidup baharu.
“Arwah sudah lama hidup sendirian kerana digantung tidak bertali dan baru sahaja bercerai. Tidak lama lagi akan berkahwin dengan kawan lamanya, dia sungguh gembira. Namun ini kesudahannya.
“Kami masih menanti siasatan polis. Anak saudara saya ada maklum abangnya yang tinggal di Pulau Pinang pulang ke rumah mereka pada pukul 4 pagi tadi dan menghilangkan diri pagi ini. Polis giat burunya,” katanya yang memberitahu anak sulung kakaknya itu yang menetap dan bekerja di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas jarang pulang ke rumah keluarganya.-UTUSAN.










