RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan pilihan raya akan diadakan pada 1 November bagi Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), Parlimen Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), lapor agensi berita Wafa.
Ini merupakan kali pertama ahli majlis dipilih melalui undi popular secara langsung. Sebelum ini, keanggotaan majlis itu ditentukan melalui pelantikan atau diserap dalam kalangan pergerakan itu sendiri.
Abbas, yang juga Presiden PLO, mengeluarkan dekri menyatakan pilihan raya akan diadakan di mana-mana yang boleh, sama ada di dalam atau di luar Palestin, bagi memastikan penyertaan meluas rakyat Palestin.
PNC merupakan satu daripada beberapa badan politik yang sebahagian besarnya tidak aktif dan berada di bawah kawalan Abbas.
PLO sepatutnya berfungsi sebagai badan yang mewakili rakyat Palestin di seluruh dunia, manakala Pihak Berkuasa Palestin (PA) pula ditubuhkan sebagai badan pentadbiran yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat di Tebing Barat serta Gaza.
Abbas sebelum ini pernah mengumumkan pilihan raya bagi beberapa badan politik di bawah kawalannya, namun ia tidak selalu dilaksanakan.
Sesi terakhir PNC diadakan pada 2018, manakala pilihan raya PNC terakhir berlangsung pada 2006 dan tidak dibukan kepada semua pengundi.
Pergerakan Islam Hamas dan Jihad Islam Palestin, yang bukan ahli PLO, tidak diwakili dalam majlis itu.










