Lintasan Rafah dijangka dibuka semula hari ini

Lintasan Rafah dijangka dibuka semula hari ini

KEADAAN di pintu masuk lintasan sempadan Rafah dengan Mesir di selatan Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel dijangka membuka semula sebahagian lintasan Rafah antara Gaza dengan Mesir pada Ahad, selepas berbulan-bulan desakan daripada organisasi kemanusiaan, walaupun akses hanya terhad kepada pergerakan orang ramai.

Pembukaan semula itu berlaku di tengah keganasan yang berterusan di wilayah Palestin, dengan agensi pertahanan awam Gaza melaporkan puluhan terbunuh dalam serangan pada Sabtu, selepas tentera Israel mendakwa tindakannya sekadar membalas pelanggaran gencatan senjata Hamas.

Lintasan Rafah merupakan pintu masuk penting untuk orang awam dan bantuan kemanusiaa, tetapi kekal ditutup sejak pasukan Israel menguasainya pada Mei 2024, kecuali pembukaan sementara dan terhad pada awal tahun lalu.

Sebelum ini, Israel berkata ia tidak akan membuka semula laluan itu sehingga mayat tebusan terakhir dipulangkan.

Menurut COGAT, badan kementerian pertahanan Israel yang mengurus hal ehwal awam di wilayah Palestin, laluan Rafah akan dibuka pada Ahad di kedua-dua hala, hanya untuk pergerakan terhad orang ramai.

Keluar masuk akan dibenarkan dengan penyelarasan bersama Mesir, selepas individu mendapat kelulusan keselamatan daripada Israel dan di bawah pemantauan misi Kesatuan Eropah (EU), kata COGAT.

Sumber sempadan memberitahu AFP, pembukaan pada Ahad akan dikhususkan untuk persiapan dan urusan logistik.

Lintasan itu dijadualkan dibuka pada Ahad secara percubaan untuk membolehkan pergerakan individu cedera, sebelum pembukaan secara tetap yang dijadualkan pada Isnin, menurut tiga sumber di sempadan.

Bagaimanapun, belum ada persetujuan mengenai bilangan rakyat Palestin yang dibenarkan masuk atau keluar, tambah sumber itu, dengan menyatakan Mesir merancang membenarkan semua rakyat Palestin yang Israel benarkan meninggalkan wilayah itu.

“Saya menunggu setiap detik untuk pembukaan Laluan Rafah,” kata seorang rakyat Gaza yang menghidap penyakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis di luar Gaza, Mohammed Shamiya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN