SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam sungai di Jalan Sungai Gadut-Rantau di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian sekitar pukul 12 tengah malam sebelum mangsa berusia 25 tahun ditemukan bersama kenderaan pada pukul 6.30 petang tadi.
Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Pengkalan Kempas, Linggi menuju ke Taman Senawang Perdana di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu seorang diri dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas lalu jatuh ke dalam sungai.
“Pada pukul 6.30 petang tadi, mangsa bersama kenderaannya ditemukan berada di dalam Sungai Simin, Rantau dan telah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Azahar berkata, sebelum penemuan itu, waris mangsa telah membuat laporan polis berhubung kehilangan lelaki tersebut yang tidak pulang ke rumah selepas menghadiri jamuan makan malam sempena Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.
“Mangsa akhirnya ditemukan bersama kenderaannya di dalam Sungai Simin, Rantau oleh sepasukan polis dan bomba,” katanya.-UTUSAN.









