DAMSYIK: Pihak berkuasa Syria menemukan sebuah kubur besar baharu yang mengandungi mayat manusia di ibu negara semalam, dipercayai milik mangsa pembunuhan beramai-ramai semasa pemerintahan rejim Bashar al-Assad di kawasan kejiranan Tadamon.
Televisyen Syria, Alikhbaria melaporkan, mayat manusia ditemukan di sebuah kubur besar berhampiran Jalan Daaboul di kawasan Tadamon, Damsyik.
Menurut keterangan penduduk tempatan, kubur tersebut merupakan sebahagian daripada rangkaian tapak pengebumian beramai-ramai, di mana mangsa pembunuhan oleh pasukan Bashar disembunyikan secara rahsia di kawasan tersebut.
Saluran televisyen itu berkata, Pertahanan Awam Syria sedang berusaha untuk mengesan dan mengenal pasti mayat tersebut, manakala pasukan keselamatan dalaman mengenakan sekatan di sekitar kawasan itu untuk memastikan keselamatan awam dan memudahkan operasi forensik.
Sejak kejatuhan rejim Baath di Syria, pihak berkuasa menemukan pelbagai kubur besar semasa operasi pencarian dan pemeriksaan di seluruh negara, sekali gus mendedahkan skala pelanggaran hak asasi manusia serta kekejaman yang dilakukan rejim itu.
Penemuan itu memperbaharui seruan untuk akauntabiliti dan dokumentasi jenayah yang dilakukan semasa konflik bertahun-tahun, selaras dengan usaha berterusan untuk menentukan nasib orang awam hilang.
Bashar, pemimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Russia pada Disember 2024, menamatkan rejim Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.
Pentadbiran peralihan baharu yang diketuai Presiden Ahmed al-Sharaa dibentuk pada Januari 2025.- ANADOLU










