KUANTAN: Kerajaan menyambut baik supaya penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) disegerakan bagi memastikan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig di negara ini mendapat perlindungan sosial, hak upah yang adil dan saluran penyelesaian pertikaian yang sistematik.
Sambutan itu dizahirkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dalam pertemuan bersama pimpinan tertinggi Majlis Ekonomi GiG Malaysia (MyGiG) di Wisma HRD Corp hari ini.
Presiden MyGiG, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, penubuhan SEGiM penting kerana ia bakal menjadi badan khusus yang mengangkat suara penggiat ekonomi gig, sekali gus memberi jaminan masa depan mereka.
“Lebih 1.2 juta rakyat Malaysia bergantung kepada ekonomi gig sebagai sumber pendapatan utama. Dengan adanya SEGiM, mereka bukan sahaja akan dilindungi daripada segi kebajikan sosial, malah turut dijamin hak upah yang adil serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Sharkar berkata, sektor ekonomi gig kini berkembang pesat dengan kehadiran platform digital yang menawarkan peluang pekerjaan fleksibel, namun tanpa perlindungan undang-undang yang jelas, ramai penggiat berdepan risiko eksploitasi dan ketidakpastian pendapatan.
Katanya, SEGiM akan berfungsi sebagai pengawal selia yang memastikan semua pihak sama ada syarikat platform mahupun pekerja gig mempunyai garis panduan yang seimbang dan adil.
“Suruhanjaya ini akan menjadi pusat rujukan utama dalam menangani isu-isu seperti kadar bayaran minimum, perlindungan insurans, caruman keselamatan sosial dan penyelesaian pertikaian kontrak,” jelasnya.
Mohd. Sharkar turut menyatakan, langkah kerajaan mempercepatkan penubuhan SEGiM akan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sektor ekonomi gig, sekali gus menjadikan Malaysia peneraju dalam melindungi tenaga kerja baharu yang semakin dominan di rantau ini.
Beliau menambah, MyGiG komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam merangka dasar dan mekanisme pelaksanaan SEGiM agar ia benar-benar memberi manfaat kepada penggiat gig di seluruh negara.
“Ini bukan sekadar soal kebajikan, tetapi soal masa depan ekonomi negara. Ekonomi gig adalah sebahagian daripada transformasi digital yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK, maka perlindungan terhadap penggiatnya adalah satu keperluan mendesak,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia atas komitmen yang dizahirkan.
“Terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia kerana memberi perhatian serius terhadap isu ini. Sokongan dan komitmen beliau menjadi pemangkin utama kepada usaha mempercepatkan penubuhan SEGiM demi masa depan penggiat ekonomi gig di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










