PETALING JAYA: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) kini hampir 90 peratus bakal menjadi ‘rumah baharu’ bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 18 Ahli Parlimen tak lama lagi.
Utusan Malaysia turut dimaklumkan bahawa Berjasa yang dalam rangka kerja pengambil alihan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan Ketua Pembangkang itu akan dijenamanakan semula sebelum diumumkan.
Sumber dalaman memaklumkan bahawa Hamzah bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokongnya dijangka mengumumkan penyertaan mereka ke dalam ‘rumah baharu’ tersebut selepas Dewan Rakyat dibubarkan kelak.
Beliau berkata, pada masa ini, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menentukan perlembagaan ‘rumah baharu’ tersebut bersesuaian dengan kehendak semasa.
“Berdasarkan perbincangan dan nasihat daripada pelbagai pihak, buat sementara waktu ini semua Ahli Parlimen (daripada Bersatu) yang dipecat akan kekal sebagai Bebas.
“Hal ini disebabkan wujudnya akta anti lompat parti yang terdapat kesamaran dalam tindakan terhadap Ahli Parlimen dipecat untuk menyertai parti lain. Jadi jika diteruskan juga, nasib mereka terletak di tangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 20 Februari lalu, akhbar ini melaporkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat selepas dipecat daripada Bersatu.
Selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Hamzah.
Sebelum ini, Hamzah sewaktu Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju politiknya selepas dipecat serta-merta oleh Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti.
Tiga hala tuju itu adalah mengambil alih Berjasa, kembali ke pangkuan UMNO atau menyertai parti sekutu di dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas.
Mengulas lanjut, sumber berkata, setakat ini, terdapat 18 Ahli Parlimen lain akan turut bersama Hamzah menyertai ‘rumah baharu’ tersebut namun ada perkembangan positif membabitkan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah dan Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan.
“Pada masa sama, difahamkan ada juga usaha untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin supaya menyokong Hamzah,” katanya.
Sumber juga memaklumkan bahawa ‘rumah baharu’ yang dirangka itu dijangka mempunyai struktur seperti Bersatu iaitu bakal menjadi parti yang memayungi orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera sebagai sayap Bersekutu.
Beliau turut berkata, sebaik sahaja ‘rumah baharu’ itu siap sepenuhnya, perpindahan besar di kalangan pimpinan dan ahli akar umbi Bersatu bakal berlaku termasuk sayap Bersekutu.
“Setakat ini apa yang kita lihat adalah 50 bahagian dalam Bersatu sudah pun dibubarkan, namun jangan lupa itu baru peringkat awal kerana dalam program reset politik bersama Hamzah sebelum ini sebanyak 118 daripada 168 bahagian yang hadir.
“Jadi, sebaik sahaja ‘rumah’ itu siap pasti lebih banyak lagi bahagian-bahagian dalam Bersatu akan bubar dan berhijrah secara besar-besaran,” katanya.-UTUSAN.










