CALIFORNIA: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) menangguhkan tarikh pelancaran misi bulan Artemis II sekurang-kurangnya sehingga Mac, selepas kebocoran hidrogen dikesan semasa ujian pengisian bahan api utama.
NASA memaklumkan, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan pasukan teknikal meneliti data dan menjalankan satu lagi ujian, yang digelarnya sebagai ‘raptai basah’.
Kru misi NASA terdiri daripada Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch serta Jeremy Hansen dari Agensi Angkasa Lepas Kanada, akan dibebaskan daripada kuarantin yang bermula di Houstan pada 21 Januari.
Misi itu bertujuan membawa angkasawan kembali ke kawasan sekitar bulan buat kali pertama sejak tahun 1972.
Dalam ujian dijalankan minggu ini, jurutera berdepan beberapa cabaran, termasuk peningkatan kebocoran cecair hidrogen, masalah pada injap berkaitan dengan proses penekanan tekanan palka modul serta gangguan pada saluran audio, menurut kenyataan NASA kelmarin.
Tujuan ujian tersebut adalah untuk memastikan roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas Boeing (SLS) Artemis II dan kapal angkasa Orion mampu melaksanakan perjalanan selama 10 hari untuk terbang sekitar bulan serta kembali ke Bumi.
NASA juga mahu menguji sistem sokongan hayat Orion sebelum Artemis III menjalankan pendaratan di bulan bersama anak kapal menjelang 2028.- BLOOMBERG










