PUTRAJAYA: Permintaan domestik kekal kukuh dalam meneraju pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun lalu mencatat sebanyak 6.3 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, momentum ini mendorong pertumbuhan KDNK tahun 2025 kepada 5.2 peratus manakala 5.1 peratus pada 2024, melangkaui unjuran rasmi kerajaan antara 4 peratus hingga 4.8 peratus.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, untuk dua tahun berturut-turut, kerajaan berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal, mencatat 3.7 peratus pada tahun 2025 (2024:4.1 peratus) berbanding unjuran awal 3.8 peratus.
Katanya, indikator makro ekonomi yang kukuh turut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dengan pencapaian kadar pengangguran terendah (2.9 peratus) dalam tempoh lebih sedekad serta kadar inflasi yang rendah pada tahun 2025 pada 1.4 peratus (2024: 1.8 peratus).
“Penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di samping komitmen berterusan kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani, semakin ketara bahawa penyampaian yang jelas bagi rangka kerja dasar, seperti yang digariskan di bawah Ekonomi Madani, diikuti dengan pelaksanaan berterusan pembaharuan yang sukar, telah mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
“Ini dicerminkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi FTSE Bursa Malaysia KLCI dalam tempoh tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Anwar berkata, walaupun kerajaan mengiktiraf kemajuan yang dicapai setakat ini, kita tidak boleh leka, bukan hanya ketika mendepani rintangan global dan ketegangan perdagangan yang semakin meruncing yang terus mempengaruhi kehidupan.
Justeru, katanya, adalah penting untuk kita sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi Madani, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi.
Ini termasuk usaha membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan.-UTUSAN.










