KUANTAN: Hari ini yang sepatutnya menjadi hari gembira buat adik Sumayah berusia tiga tahun namun sebaliknya jenazahnya akan dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada sambutan hari kelahirannya.
Adik Sumayah yang dilahirkan pada 18 Februari 2024 antara empat mangsa pembunuhan kejam bapa sendiri selain ibunya, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, kakaknya, Nur Saffiyah Humairah, berusia empat tahun dan neneknya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56.
Dalam kejadian di Taman Cherating Damai, di sini, kira-kira pukul 7 pagi semalam, suspek yang berusia 32 tahun turut terbunuh selepas dipercayai bertindak menikam diri sendiri.
Mayat kanak-kanak malang itu bersama dua lagi mangsa iaitu kakak dan neneknya dibedah siasat hari ini bermula pukul 8.45 pagi tadi dan dijangka akan selesai kira-kira pukul 1 petang nanti.
Manakala mayat ibu dan bapa mereka telah siap dibedah siasat semalam bermula pukul 4 petang sehingga pukul 8.30 malam.
Kesemua mangsa dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cerating, di sini, hari ini selepas proses bedah siasat selesai.
Dalam kejadian semalam, lima sekeluarga ditemui mati di dalam sebuah rumah di Taman Cerating Damai, di sini, dengan kesan tikaman dan kelar.
Suspek berusia 32 tahun dipercayai bertindak membunuh isteri dan dua anak kecilnya serta ibu kandung sebelum membunuh diri.
Bagaimanapun adik bongsu suspek berusia 15 tahun yang turut berada di rumah berkenaan ketika kejadian terselamat dan tidak dicederakan.
Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan disebabkan masalah kewangan. – UTUSAN










