JOHOR BAHRU: “Saya keluar hantar anak sekolah pukul enam pagi, masa itu rumah masih elok. Tak sampai sejam bila saya balik, api sudah marak, semua habis.”
Itu luahan Tok Batin Orang Asli Seletar di Kampung Teluk Jawa di sini, Awie Mee, 43.
Menurutnya, dia dan keluarganya serta beberapa buah keluarga lagi kini tinggal sehelai sepinggang selepas kira-kira 30 rumah atas air masyarakat itu musnah dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 6.30 pagi semalam.
Katanya, wang simpanan sebanyak RM8,000 yang dikumpulnya sejak beberapa tahun lalu bagi membesarkan ternakan kupang serta menambah ruang rumahnya turut hangus.
“Itu duit simpanan saya, hendak besarkan ternakan kupang, hendak tambah rumah sikit. Semua habis. Baju, dokumen, enjin bot, tidak sempat di selamatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Teluk Jawa, Masai, di sini semalam.
Walaupun sedih, Awie tetap meluahkan kesyukuran kerana semua ahli keluarga dan komuniti Orang Asli yang terjejas dengan insiden kebakaran itu selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Sedih memang sedih, tapi saya bersyukur semua keluarga dan jiran-jiran selamat. Ada yang terjun ke laut untuk selamatkan diri sebab api cepat sangat merebak. Angin kuat pagi tadi jadi orang ramai tidak sempat buat apa-apa.
“Majoriti lelaki dewasa di kampung ini sudah keluar ke laut seawal pukul lima pagi lagi, jadi ketika kejadian memang yang ramai tinggal adalah ibu-ibu dan kanak-kanak, apabila saya pulang juga tidak mampu buat apa-apa lagi,” tambahnya.
Menurut Awie lagi, kejadian awal pagi tadi merupakan insiden kebakaran kali ketiga yang pernah berlaku di perkampungan itu sejak dia menetap di sana namun ia merupakan kebakaran paling teruk.
“Tak pernah jadi macam ini. Ini paling teruk. Rumah semua musnah. Kami kini tidak tahu apa nasib kami, anak-anak semua mahu tidur di mana nanti,” jelasnya lanjut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Subri Md. Isa dalam pada itu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.04 pagi.
Katanya, kebakaran melibatkan perkampungan atas air berstruktur sementara yang dibina menggunakan dinding kayu, lantai papan dan bumbung zink dengan keluasan dianggarkan 200 kali 200 kaki persegi.
“Seramai 28 anggota beserta tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Kebakaran yang berlaku turut menyebabkan kerosakan pada dua bot berenjin, sebuah kereta dan enam motosikal.
“Anggota menggunakan sumber air laut berhampiran dengan bantuan pam bagi memadam kebakaran,” katanya.
Mohd. Subri berkata, api berjaya dikawal pada pukul 7.41 pagi manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd. Rahman dalam satu kenyataan memberitahu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas dengan kebakaran.-UTUSAN.










